Friday, March 30, 2012

Esei Contoh: Menangani Salah Laku Pelajar Tanggungjawab Semua Pihak

Menangani Salah Laku Pelajar Tanggungjawab Semua Pihak
Oleh: SYL

Peristiwa pembunuhan seorang pelajar lelaki akibat ‘ragging’ yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar senior yang menggelar diri mereka sebagai ‘The High Council’ di SMK Tunku Abdul Rahman telah menggemparkan dunia pendidikan Malaysia pada tahun 2003. Peristiwa yang telah menjadi titk hitam dalam tawarikh sekolah yang masyhur tersebut juga menjadi penanda aras tahap keseriusan kebejatan moral dalam kalangan pelajar. Sudah menjadi hakikat yang tidak dapat ditidak-tidakkan lagi bahawa masalah disiplin pelajar sekolah kian meningkat ekoran infiltrasi budaya ketimuran Malaysia oleh budaya kuning. Ada laut, adalah perompaknya. Jaringan globalisasi yang kian berkembang serta arus modenisasi yang sudah mengubah imej tanah air tercinta secara realitinya juga mendatangkan kesan-kesan negatif, yang begitu tampak menampakkan impak ke atas tahap moraliti generasi muda. Tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi memangkin pembangunan negara dan memantapkan tahap kompetensi industri tanah air. Namun demikian, proses liberalisasi dan penciptaan ‘pasaran bebas’ juga telah membenarkan penerapan unsur-unsur yang menghakis norma masyarakat Timur, terutamanya menerusi saluran media dan internet. Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan kadar kes juvana yang dilaporkan mulai tahun 2000 menjadi alamat keruntuhan akhlak yang mutakhir ini menjadi barah yang menjejaskan pembentukan sahsiah generasi pemangkin pemacu pembangunan negara. Soalnya, apakah intervensi proaktif yang dapat dilaksanakan untuk menyelesaikan kebejatan moral ini?

Tatkala mencari kambing hitam bagi fenomena sosial ini, janganlah kita kerap kali menuding jari kepada golongan guru. Sebaliknya, kita harus sedia maklum bahawa para pelajar sememangnya menghabiskan lebuh kurang 18 si di rumah sendiri. Oleh hal yang demikian, tidak wajarlah jika dikatakan bahawa guru tidak menjalankan tanggungjawab membentuk jati diri pelajar. Selain itu, guru juga sentiasa dihambat masa dan sukatan pelajaran yang padat. Orang yang harus memainkan peranan utama dalam pembentukan perilaku pelajar ialah ibu bapa mereka sendiri. Sebagai agen sosialisasi yang memikul tanggungjawab hakiki membentuk sahsiah anak, ibu bapa tidak harus terlalu tamak mengejar kertas merah biru. Kebendaan bukanlah segalanya. Jikalau ditinjau dari perpesktif psikologi, kebanyakan pelajar yang mempunyai masalah disiplin sebenarnya dahagakan kasih saying dan belaian lembut ibu bapa. Ketohoran kasih saying dan ketandusan perhatian inilah yang mendorong pelajar ini mencari hiburan dan sumber ‘kasih sayang’ di luar empat penjuru rumah yang mampu memberikan mereka katarsis. Kadang-kadang, dunia hiburan pula yang dijadikan ikutan remaja hari ini, walhal yang patut menjadi teladan kepada pemuda-pemudi ialah ibu bapa sendiri. Bandura, Ross, dan Ross (1963) telah memerhati kelakuan kanak-kanak yang diletakkan di dalam sebuah bilik permainan yang mempunyai “Bobo doll” dan permainan yang lain. Kemudian, kanak-kanak ini telah dibahagikan ke dalam 4 keadaan eksperimen yang berbeza: Dalam pemerhatian pengkaji, kanak-kanak berkecenderungan untuk menjadi lebih agresif setelah mereka dikeluarkan dari bilik permainan tadi. Bertitik tolak daripada dapatan kajian ini, ibubapa seharusnya meluangkan ‘quality time’ bersama-sama anak denagan menjalankan aktiviti rekreasi yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan lantas menjalin hubungan ukhuwah yang jati. Dengan adanya interaksi secara kerap dan bermakna dengan ibu bapa, seseorang remaja itu akan mula meneladani nilai-nilai moral dan tabiat-tabiat yang diamalkan oleh mereka. Pendek kata, remaja itu lebih mudah dipengaruhi secara positif akhlaknya sekiranya menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.

Ada juga yang berpandangan bahawa delinkuensi dalam kalangan pelajar turut bersangkut paut dengan pengaruh media massa. Dari segi objektif, pendapat tersebut memang berasas, malah sudah dibuktikan kesahihannya. Menurut Sandra L. Calvert dalam bukunya “Children’s Journeys Through the Information Age” telah menyatakan, dalam rancangan televisyen yang disiarkan ketika masa kemuncak  (prime time), 70 peratus daripada rancangan televisyen tersebut mengandungi unsur-unsur keganasan. Pakar komunikasi, Eleanor E Maccoby dalam bukunya, “Why Do Children Watch TV” memberitahu, kes juvana sedikit sebanyak juga berpunca daripada kepuasan emosi yang didapati kanak-kanak menerusi fantasi berikutan kegagalan untuk mendapat kepuasan hakiki dalam dunia nyata. Bahkan, salah satu teori delinkuensi remaja yang popular ialah ‘Teori Catharsis’ yang mendakwa rancangan yang ditonton di televisyen salah satu cara melepaskan keganasan yang terkongkong. Keganasan dikatakan wujud oleh unsur psikologi ketika menonton sesuatu program itu. Kajian Buletin Keselamatan Masyarakat di Amerika Syarikat pula mendapati lebih sejuta kes jenayah membabitkan kanak-kanak, kebanyakan berpunca daripada pengaruh media elektronik. Marcapada ini, pelajar sekolah seringkali disuapkan rancangan televisyen yang memaparkan kartun berbentuk ganas, komedi berunsur seks dan talk-show berbau gossip. Oleh itu, Kementerian Penerangan harus memperketat proses penapisan filem serta menggembleng tenaga bersama-sama RTM dan syarikat penyiaran seumpamanya seperti ASTRO untuk mencapai kata sepakata dalam menentukan filem-filem yang wajar disiarkan. Program ‘reality-show’ seperti Survivor dan America’s Next Top Model harus dikawal penyiarannya kerana rangangan televisyen sebegini mengagung-agungkan nilai-nilai negative seperti sikap mementingkan diri sendiri. Malah, usaha menapis lagu seperti tindakan stesyen-stesyen radio di Malaysia yang telah menyaring lirik lagu Born This Way yang menyanjung hubungan seks sejenis, sepatutnya diteruskan.

Pihak PDRM juga harus dilibatkan dalam usaha menyifarkan salah laku pelajar. Program motivasi PDRM dan kempen ‘Sifarkan Salah Laku Pelajar’ perlu diperluas demi mendidik pelajar mematuhi tatatertib sekolah dan undang-undang negara. Selain itu, PDRM harus mengadakan serbuan yang kerap terhadap sarang pelajar-pelajar yang terjebak dalam lembah maksiat umpama penagihan dadah, seks rambang, melepak dan peras ugut. Tindakan disiplin yang setimpal harus dijatuhkan ke atas pesalah juvana untuk menyedarkan mereka bahawa undang-undang Malaysia digubal untuk tujuan memelihara keamamnan nasional, bukannya sebagai olok-olok yang boleh dipandang ringan. Remaja yang didapati terlibat dalam salah laku juga mesti diwajibkan menjalankan khidmat masyarakat sepertimana yang dikuatkuasakan oleh pihak polis Singapura agar pesalah berasa serik dan akan berfikir dua kali sebelum mengulangi jenayah yang sama. PDRM juga boleh menjadikan sekolah bermasalah sebagai ‘sekolah angkat’ dengan menempatkan pegawai PDRM yang boleh keluar masuk kawasan sekolah demi memastikan disiplin pelajar terkawal.

Dalam pada itu, pelajar harus melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum scara aktif untuk mengisi masa lapang. Hal ini demikian kerana majoriti kes salah laku juvana disebabkan pelajar berasa bosan dan ingin mancari hiburan. Oleh hal yang demikian, tindakan Kementerian Pelajaran mewajibkan semua pelajar menyertai pasukan unit beruniform dan kegiatan sukan harus dipuji. Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum bukan sahaja mampu membentuk sahsiah pelajar yang jitu tetapi juga mengurangkan kadar jenayah juvana, sekaligus melahirkan pemimpin akal sari yang berketerampilan dan seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dengan kata-kata lain, penyertaan dalam kegiatan kokurikulum merupakan serampang dua mata.

Natijahnya, langkah-langkah proaktif perlu dilaksanakan demi membanteras kebejatan moral dalam kalangan pemimpin hari muka. Kita tidak boleh bertangguh dan melewatkan tindakan yang sewajarnya kerana fenomena salah laku pelajar semakin parah malah kini mengancam tunas kepimmpinan tanah air. Adakah negara ini akan maju jikalau pemegang pucuk kepimpinannya dibelenggu masalah disiplin? Tentulah tidak. Pembangunan negara menuju pencapaian Wawasan 2020 disandang oleh generasi muda hari ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memrangi salah laku pelajar hingga ke akar umbi.

No comments:

Post a Comment